Kenapa Sarawak boleh buat pendidikan percuma

Merujuk artikel pada Fajar Baru MY berkenaan Pemansuhan PTPTN yang diterbitkan 20 April lalu, ini sebuah artikel yang bagus daripada mahasiswa yang prihatin dengan keadaan mahasiswa yang dibelenggu bebanan hutang dan kos sara hidup, dalam artikel ini Mustaqim memetik inisiatif kerajaan Sarawak yang agak umum tanpa mengira konteks yang akan dijelaskan disini. Pertama, terdapat batasan-batasan yang membolehkan skim pendidikan percuma ini dilaksanakan iatu syarat-syarat seperti;

  • Pemohon adalah anak Sarawak
  • Pemohon daripada keluarga berpendapatan RM1,500 ke bawah
  • Hanya institusi milik kerajaan negeri menawarkan skim ini iatu Kolej Antarabangsa Teknologi Lanjutan (I-CATS), Curtin University, University of Swinburne, Universiti Teknologi Sarawak (UTS)
  • Hanya bidang berkaitan STEM, perakaunan, kewangan dan perundangan sahaja.

Skim ini sebenarnya sudah dilaksanakan di Kolej Laila Taib dengan 100% biasiswa dan yuran asrama percuma walaubagaimanapun tertakluk kepada syarat kedua tadi dan syarat ditetapkan pihak Kolej, iatu pemohon daripada keluarga berpendapatan RM 1,500 ke bawah dan terma B40 masih digunakan untuk merujuk golongan ini, manakala untuk pelajar daripada M40 sebanyak 50% tajaan dan selebihnya perlu membayar sendiri misalnya jika pelajar M40 mengambil program diploma kejuruteraan elektrik dan elektronik yang yurannya RM 22,800 mereka masih perlu membayar RM 11,400 kepada Kolej. Begitu juga apabila dilaksanakan kelak, pelajar daripada M40 dan T20 masih tetap membayar yuran kepada 4 IPTS. Sebelum ini golongan M40 dan T20 yang mendominasi IPTS milik negeri. Pelajar yang tidak menyambung pengajian di IPTS milik negeri seperti UNIMAS,UPM tidak akan mendapat tajaan ini. Bagi kes UiTM kampus Sarawak masih dalam perbincangan.

Jadi berdasarkan syarat-syarat diatas, kelompok yang mendapat pendidikan percuma cukup kecil apatahlagi institusi tersebut dimiliki oleh kerajaan negeri sendiri yang menimbulkan persoalan kerajaan membayar kerajaan? Sebelumnya, masyarakat sendiri melihat IPTS milik kerajaan negeri hanya untuk golongan yang berada yang menyebabkan enrolmen di IPTS milik negeri agak sedikit, berbeza dengan Universiti Awam dan Institusi TVET awam seperti Politeknik, Kolej Komuniti, ILP yang cukup ramai pelajarnya. Sebelum skim ini diperkenalkan, pelajar berpendapatan rendah dan menengah yang menuntut di IPTS milik negeri berhutang menerusi PTPTN versi Sarawak, Yayasan Sarawak yang bahkan bidang teknikal pun menerusi Institusi Teknikal milik kerajaan Sarawak seperti SarawakSkills dan AWISAR perlu berhutang. Malah wujud dakwaan kerajaan negeri ingin memonopoli pendidikan tinggi juga wujud apabila hanya 4 IPTS milik negeri sahaja tergolong dalam skim ini.

Pendidikan percuma Sarawak


Skop pendidikan percuma ini sangat-sangat kecil dan kerajaan Sarawak juga menjelaskan tidak akan mengenakan cukai kerana jika mereka menaja kesemua golongan pendapatan, alamatnya memerlukan mekanisme sumber pendapatan seperti kenaikan cukai mahupun cukai baharu kerana secara teknikalnya pendidikan percuma memerlukan kos, dan kos pengajian tinggi saban tahun kian meningkat, yang pelajar sendiri sama ada sedar atau tidak, sebahagian yuran pengajian itu juga disubsidi kerajaan Persekutuan dan selebihnya dibayar pelajar sendiri.

Malah yang paling mengejutkan, bidang selain yang disebutkan adalah tidak akan ditaja baik bidang kemanusiaan, sastera, mahupun bidang-bidang tidak selari dengan perancangan ekonomi kerajaan negeri. Bahkan nilai bidang ini malangnya tidak dihargai apabila Roland Sagah sendiri menyebut pelajar bidang-bidang ini sukar mendapat pekerjaan tetapi memaki kerajaan negeri apabila tidak mendapat kerja. Gambaran bidang yang dia maksudkan ialah: Sains Politik, Sastera, Hubungan Antarabangsa, Pengajian Filem, Muzik, Jurnal, Komunikasi Massa, Bahasa, Seni, Falsafah, Sejarah serta banyak lagi yang saya pasti akan dikritik hebat oleh beberapa kelompok nanti. Pelajar daripada bidang ini mungkin akan memohon BPKNS yang 75% biasiswa dan 25% pinjaman ataupun berhutang sama ada Yayasan Sarawak atau PTPTN sendiri. 

Kerajaan negeri masing-masing boleh melaksanakan skim serupa tetapi perlu diambil kira bahawa pendapatan kesemua 11 negeri meskipun digabungkan, lebih sedikit berbanding pendapatan negeri Sarawak iaitu RM 14.2 bilion yang dijangka meningkat dan kelebihan sumber alam pada Sarawak. Ketika Tun Mahathir berpendapat Sarawak perlu membantu negeri seperti Kedah dan Kelantan, baik penyokong Tun M atau Kerajaan negeri kurang memahami maksud yang dijelaskan Abang Johari bukan merendahkan negeri tersebut tetapi realiti di Sarawak yang sangat-sangat memerlukan pembangunan di sana sini dengan wilayah yang cukup besar ditambah negeri ini kedua teramai miskin tegar dengan kadar pengangguran yang melebihi paras nasional, kadar kelahiran yang rendah, sekolah yang daif, pembangunan di pedalaman yang masih memerlukan pembangunan infrastruktur dan skim pendidikan percuma untuk kelompok kecil ini salah satunya.

Sekiranya beban itu diletakkan pada Kerajaan Persekutuan untuk memansuhkan PTPTN dan mewujudkan pendidikan percuma yang kosnya sangat tinggi jika mengambil kira faktor kos pengajian tinggi hari ini ditambah kos pengurusan dan pembangunan yang meningkat dan pelupusan kira-kira RM42.34 bilion hutang PTPTN, memerlukan kemampuan bagaimana mekanisme yang mapan untuk membolehkan ianya terwujud sama ada mengenakan cukai baharu, penulis menyebut mempelbagaikan cukai progresif tetapi adakah kita terus menerus mencekik golongan berpendapatan tinggi? Itu mempunyai kesannya. Laporan Audit memang mengesahkan wujud ketirisan. Ketika ini juga subsidi yang mempunyai ketirisan cuba diselesaikan dengan rasionalisasi subsidi petrol yang lebih efisien yang menjimatkan perbelanjaan. 

'Kerajaan tidak ada duit yang cukup ' bukanlah alasan politik melainkan sebuah realiti apabila kutipan hasil kerajaan Malaysia menunjukkan penurunan dari tahun ke tahun berdasarkan laporan World Bank. Ramai pakar menyebut kadar sifar GST menjadi punca kepada ini yang mencadangkan GST dikembalikan semula. Kita berdepan cabaran yang menjadikan pendidikan percuma boleh berlaku tetapi banyak perkara akan menerima kesannya. 


Fokus kepada pendidikan percuma semata-mata tanpa pembangunan dan dasar ekonomi yang tepat menjadikan keadaan seperti di Tunisia, Algeria mahupun Greece yang mempunyai pendidikan tinggi yang percuma tetapi kadar pengangguran cukup tinggi kerana tidak seimbang dengan pembangunan ekonomi dan kurangnya diversifikasi ekonomi seperti di Tunisia dan Algeria ditambah kemahiran yang tidak diperlukan di pasaran, yang menyebabkan graduan bidang kemanusian dan sains sosial sukar mendapat kerja. Mungkin itukah kerajaan Sarawak sinis dengan bidang ini? 

Kerajaan Persekutuan mungkin perlu meneroka sumber kewangan lain tetapi sumber alam bergantung kepada ketidaktentuan global sepertimana harga getah, sawit, minyak serta memerlukan kos juga yang masih memerlukan penerokaan sumber pendapatan lain. Sebelum ini hasil kutipan GST kira-kira RM44 bilion mampu membiayai banyak projek dan bantuan kerajaan yang sayangnya dikurangkan pada 0% dan memang GST akan menyebabkan harga barang naik tetapi kerajaan ketika itu memperkenalkan BR1M untuk mengatasi masalah ini. 


 Tekad untuk pendidikan percuma itu memang ada, ketika ini pun terdapat institusi pengajian yang hampir percuma seperti Kolej Komuniti yang menawarkan bantuan kewangan yang cukup tinggi ataupun Institut Latihan Perindustrian yang menawarkan pendidikan percuma dengan elaun setiap bulan, serta makan percuma. Pendidikan percuma memerlukan kos yang cukup-cukup besar baik pengurusan, pembangunan, dan kos-kos lain, jika semua bersedia untuk kenaikan harga barang dan perkhidmatan, cukai yang baharu untuk golongan berpendapatan tinggi, pemotongan atau penamatan subsidi dan bantuan kerajaan, pelabur juga tidak lagi melihat Malaysia mesra pelabur, pendidikan percuma boleh dilaksanakan. Jika sebelum ini kos pendidikan ditanggung diri sendiri, kini orang lain harus menanggung anda. Itu realiti pendidikan percuma di seluruh dunia. 

Itulah sebab mengapa kerajaan Sarawak boleh dan kerajaan persekutuan tidak boleh dalam konteks masing-masing.

Ulasan