Teknologi hari ini adalah teori ratusan tahun lalu yang dianggap buang masa

Anehnya tanggapan sesetengah individu yang meletakkan bidang Sains tulen dan kemanusiaan sebagai sesuatu yang tak menghasilkan duit, sembang tapi tak selesaikan itu mirip apa yang berlaku puluhan atau ratusan tahun yang lalu. Teknologi yang kita pakai hari ini berasal daripada teori ratusan tahun dahulu yang dianggap merepek dan membuang masa. Contohnya logik binari yang berasaskan 0 dan 1 asalnya susunan sistematik George Boole yang mengambil daripada karya Leibniz yang mana Leibniz mengambil konsep Yin Yang yang selepas Boleh menerbitkan karyanya selama hampir seratus tahun kemudian baru dibedah oleh Claude Shannon yang membuktikan litar elektrik mempunyai logik. Kemudiannya dikembangkan ilmuwan selepas beliau yang membolehkan kita semua menikmati teknologi ini. Asal usulnya cuma teori yang tak dipandang! 
Bapa AI asalnya juga dianggap gila apabila membawa idea mesin boleh berfikir tetapi hari ini firma AI berlumba-lumba siapakah menghasilkan model Gen AI terbaik. Teori Relativiti oleh Einstein juga begitu, tetapi sekarang itulah disebalik GPS yang digunakan hampir semua orang pada setiap hari dan Teori Relativiti itu juga dibina berdasarkan model Matematik Bernhard Riemann yang dianggap tak berguna sewaktu zaman dia 1850an dahulu.

Abbas Ibnu Firnaz ratusan tahun dahulu sudah ada visi manusia terbang yang kini menjadi kenyataan walaupun dahulu dianggap gila.

Mekanik Quantum dulu dianggap gila, bercanggah dengan determinism dan "hukum fizik" tetapi hari ini cip semikonduktor, laser dan banyak lagi wujud. 

Tetapi kenapa Sains tulen dimomokkan tak menghasilkan pendapatan dan teori mereka sembang lebat? Mereka berfikir secara ekonomi atau sebuah ketamadunan? Lihat polisi bahasa yang jelas berdasarkan siapa "kuasa " dunia, semua itu tidak sama 100 tahun nanti, jika hegemoni sesuatu kuasa itu berakhir. Akibat daripada inilah negara seperti Amerika Syarikat, China bahkan Jepun menaja penyelidikan "sembang lebat" ini seperti penyelidikan quantum gunaan, penyelidikan sains di Jepun dan banyak lagi yang kalau dilihat daripada kaca mata sekarang; tak boleh buat duit pun bahkan ada yang kontroversi dengan mencabar konsensus arus perdana seperti penyelidikan genetik di China. Sebab mungkin mereka sedar, 50 tahun lagi tidak akan sama dengan apa yang berlaku hari ini jadi mereka memilih untuk mencorakkan siapa yang berkuasa 50 tahun atau 100 tahun akan datang. 

Sedangkan negara-negara yang mungkin berfikir 20 tahun, 30 tahun masih mengikuti kiblat daripada negara yang menaja penyelidikan sains fundamental ini yang memberi kesan kepada masyarakat mereka sebagai contoh Korea Selatan, secara kuantitatif Korea Selatan di masa hadapan sedang menanggung kos daripada masa lalu dimana budaya kerja ekstrem dan polisi ketika itu menyebabkan penurunan populasi yang mana kalau diukur, sebenarnya Korea selatan sedang kehilangan produktiviti kalau ikut kaca mata rakyat sebagai unit ekonomi lah. Contoh, Dia laju keluarkan 500 terbaik ketika 80-2020s tapi lepas tu momentum slow dan dia kehilangan 50%. Ibarat ada 10 mesin yg keluarkan 50k produk selama 40 tahun tapi lepastu hanya 5 mesin berfungsi . Tetapi saya tidak berfahaman manusia sebagai unit ekonomi seperti negara-negara ini kerana yang menggerakkan adalah manusia, tetapi disuruh berfikir seperti mesin, itu tidak bersesuaian spesifikasi. Boleh ke pergi suruh Raspberi Pi ikut senibina x86?! . Budaya mereka digelar "efisien" tetapi kesannya dan kosnya sudah kelihatan. Efisien apanya? Harus dipersoalkan konsep optimumnya dan untuk kes kemanusiaan yang kononnya jarang pakai itupun kalau dari sudut kuantitatif pun sebenarnya sangat "dipakai". Misalnya rasuah. Secara kuantitatif sebab sekarang semua orang syok nak kuantitatifkan semua benda untuk disstrack sains kemanusiaan, contohnya dalam rekaan sebuah infrastruktur katakan sebuah peranti elektronik kenapa seorang jurutera harus fikir kekuatan bahan dan keselamatan yang akan mempengaruhi pengguna. Itu masih sebuah sains kemanusiaan. Kita cipta teknologi ni untuk siapa? Takkan cipta untuk humanoid bukan? Fikiran abad ke-20 yang meletakkan setiap bidang ini sudah menampakkan implikasinya. Pencemaran alam sebab tiadanya adab. Perkara ini sudah lama dibincangkan tapi teori Attas dicap awang-awangan katanya sedangkan benda ni sejak Revolusi Bolshevik dah berlaku, runtuhkan kapitalis tapi yang meruntuhkan (mangsa) itu pula merebut harta sesama "komrade" , kitaran manusia korup sebab ubah sistem tak menggubah cara fikir manusia , itu berbalik kepada sikap manusia yang tentang cara fikir mereka.

Satu lagi masalah umum bahawa dalam kalangan terpelajar berpendapat ahli matematik tak faham fizik. Sungguh mendukacitakan sedangkan mekanik klasik dibina berdasarkan ruang Cartes, teori relativiti dibina berasaskan ruang reimann dan ruang Hilbert melahirkan mekanik quantum. 

Pendek kata semua bidang sama penting, tiada yang superior kalau diabaikan akan menyebabkan kos yang tinggi kepada manusia dan terpaksa mengulangi lagi dan tidak ada one man show semuanya pengembangan ribuan tahun dan kolaboratif.

Linguistik berbeza daripada Logik dan Arithmetik

 

UP-DLPS6 carta ringkas jumlah A

Merujuk laporan The Borneo Post berkenaan dengan pencapaian yang teruk dalam Sains dan Matematik tetapi cemerlang dalam Bahasa Inggeris bagi Ujian Penilaian Dual Language Programme Sarawak (UP-DLPS 6) yang mendapat reaksi antaranya masyarakat dan sudah tentu denial yang tidak menjelaskan bagaimana dan merujuk ulasan seperti Dr Othman Talib yang sayangnya tidak dipedulikan oleh sebahagian masyarakat Sarawak semata-mata kerana siapa beliau dan bukan apa yang dibawa beliau, kebetulan penulis juga anak Sarawak yang mana penulis seperti biasa akan menggunakan kaedah yang dipakai dalam blog ini iatu menilai semua premis bagi memberikan konteks yang luas bahawa kecerdasan Linguistik tidak menjamin kecerdasan Logik dan Aritmetik. Penulisan ini adalah sepenuhnya bebas dan berasaskan pedagogi bukan ideologi.

Pertama, perbezaan bagaimana ahli politik di Sarawak melihat pencapaian Sains dan Matematik dunia berbeza daripada realiti ekoran mereka melihat daripada sudut ekonomi, bukan daripada sudut Sains itu sendiri. Hujah yang sering dilontarkan dan diulang penyokong mereka adalah ;

80% jurnal terbit dalam Bahasa Inggeris 

Universiti terbaik menggunakan Bahasa Inggeris 

Perniagaan menggunakan Bahasa Inggeris 

yang juga bermaksud akses kepada dunia Sains adalah Bahasa Inggeris itu sendiri.

Dan jalan pintas yang boleh difikirkan hanyalah memperkenalkan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, dengan belajar Bahasa Inggeris kemudian baru belajar Sains dan Matematik walaupun kajian dan pelaksanaan bahkan fakta Sains membuktikan itu logik yang SALAH. Pembelajaran di dalam bahasa Inggeris itu sendiri bagus ekoran Bahasa adalah sesuatu yang adaptif dan melengkapkan pelajar untuk persediaan tetapi ianya menjadi masalah apabila Matematik dan Sains diajarkan didalam Bahasa Inggeris kerana sebahagian besar menyebabkan pelajar mengalami kesukaran untuk memahami Sains dan Matematik berbanding belajar terus didalam bahasa ibunda.

Penulis secara terus membentangkan;


1. Bahasa diproses melalui bahagian Broca dan Wernicke sedangkan Matematik melalui Intraparietal Sulcus sementara Logik melalui Prefrontal Cortex yang mana belajar menggunakan Bahasa Inggeris berbanding bahasa ibunda mengakibatkan "overload", pelajar harus belajar dua perkara sekaligus yang mengurangkan kefahaman intuitif itu sendiri. Tambahan ini juga membuktikan pintar Bahas Inggeris tidak bermaksud hebat dalam penyelesaian masalah dan mengira serta sebaliknya.


2. Bahasa ibunda mengurangkan cognitive overload dan lebih efektif meningkatkan kefahaman Matematik dan Sains dalam kanak-kanak, ini dibuktikan kajian UNESCO.


3. Pembelajaran Bahasa lebih bersifat adaptif, anda boleh belajar banyak Bahasa atau menambah vocabulary seiring dengan interaksi dan berbeza dengan Matematik dan Sains bersifat kumulatif dan ini ada kaitan dengan point (2) dimana sekiranya Asas Matematik sudah pincang, konsep lanjutan yang kompleks hampir tiada jalan.

4. Pemahaman didalam bahasa ibunda kemudiannya dipindahkan ke Bahasa Inggeris seperti point (3) tadi bahawa penguasaan kumulatif diadaptasi ke Bahasa asing kerana sifat Bahasa itu sendiri. Berbeza jika fasih Bahasa Inggeris tetapi tidak memahami konsep Sains dan Matematik.

5.Berdasarkan point (4) saintis daripada negara maju seperti Jepun, China dan Korea Selatan, Jerman mempelajari Sains dan Matematik didalam bahasa masing-masing sebelum membuat penyelidikan didalam Bahasa Inggeris. Kenapa tidak mengikuti langkah negara maju ini?


6. Kemampuan mengaitkan konsep Sains dan Matematik dengan kehidupan seharian dimulakan dengan pemahaman setempat dan meletakkan ilmu bukan hak milik sesiapa.


7. Kerajaan Malaysia telah melaksanakan PPSMI dan DLP tetapi kedua-dunya ibarat pisang berbuah dua kali menemui titik kegagalan yang kemudiannya dimansuhkan.


8. Penulis sedar hujah struktur dan masalah pengalaman guru-guru tetapi tujuan guru-guru Sains dan Matematik bukan mengajar Bahasa.

9. Hanya sekolah di bandar yang menunjukkan prestasi sementara sekolah di luar bandar menunjukkan prestasi yang kurang memuaskan, sekolah di luar bandar mempunyai kesukaran seperti infrastruktur bahkan kekurangan guru. Jurang yang wujud.


Maka solusi yang pragmatik semestinya mengembalikan pembelajaran Sains dan Matematik di dalam bahasa ibunda. Tetapi masalah ini sering dilihat patriotik atau tidak dan perkara seperti autonomi tanpa mengira sudut Sains dan Matematik itu. Penyokong dasar ini sentiasa melihat daripada sudut ekonomi. Penulis juga tidak menolak Bahasa Inggeris ekoran Bahasa ini penting untuk komunikasi global ditambah Malaysia ingin menjadi global hub serta Sarawak berhasrat menjadi hub kewangan serantau tetapi penulis menolak Sains dan Matematik dilaksanakan dalam Bahasa Inggeris kerana mengorbankan kefahaman Sains dan Matematik itu sendiri.