PNB sebenarnya cool!


Puluhan selepas merdeka, kita dikatakan merdeka secara fizikal atau politik sedangkan ekonomi ketika masih dipegang syarikat-syarikat British yang masih mengawal ladang-ladang getah serta lombong biih timah di kawal oleh British dari jarak jauh misalnya Guthrie,Sime Darby dan London Tin. Ketika itu pemilikan ekuiti oleh Bumiputera sangatlah sedikit pada 1971 berdasarkan jadual dibawah.

PemilikanJumlah Pemilikan Peratus
Bumiputera Perseorangan dan Agensi Amanah    279.64.3
Bukan Bumiputera2233.234.0
Warganegara Asing4051.361.7

Ini adalah pasca terjadinya peristiwa hitam negara iatu 13 Mei 1969 dan  kemiskinan Bumiputera yang parah ditambah pekerjaan mereka yang fokus pada sektor kepada pertanian, beberapa syarikat mula diambil alih oleh kerajaan menerusi PERNAS misalnya London Tin tapi perkara ini tak cukup. Maka, kerajaan datang dengan Dasar Ekonomi Baru yang mana membawa kepada penubuhan Yayasan Pelaburan Bumiputera pada 1978 dan seterusnya Permodalan Nasional Berhad sebagai badan pelaburan bagi YPB sebagai solusi kepada masalah pemilikan ekuiti bumiputera yang rendah ketika itu. 

Amanah Saham Nasional dilancarkan pada 1981 yang mana kerajaan melakukan kempen yang agresif dimana pegawai-pegawai masuk ke ceruk kampung dan iklan televisyen serta radio yang mana sistem buku pelaburan diperkenalkan ketika pelabur mendaftar di Bank dan Pejabat Pos. Tahukah anda ini dilakukan 1981, puluhan tahun sebelum pelaburan di demokrasikan dan fractional shares dipopularkan pada 2019!  PNB telah melangkaui logik ekonomi bahkan teks ekonomi pada ketika itu bahawa petani, orang-orang kampung tidak boleh memiliki syarikat besar tanpa memerlukan modal yang besar menerusi pemilikan ekuiti kolektif yang hanya, pada ketika itu, ini adalah sesuatu yang radikal! Istilah crowdfunding itu sendiri diperkenalkan pada 2006 tapi PNB bukan crowdfunding eh. Malahan banyak perkara yang PNB dah lama buat ketika itu tapi di zaman ini baru dilakukan misalnya financial inclusion menerusi sistem buku pelaburan tanpa perlu akaun bank pun, sebelum robo advisor ataupun pelaburan pasif ada, PNB menanggung risiko pelabur dengan individu-individu terbaik yang menguruskan dana pelaburan ini.

Selepas penubuhan PNB, kerajaan kemudiannya memindahkan saham-saham milik agensi kerajaan kepada PNB yang asalnya dimiliki Perbadanan Nasional Berhad dan Kementerian Kewangan seperti Maybank, Sime Darby Berhad, Malaysia Mining Corporation. Kebetulan Sime Darby, London Tin diambil alih oleh PERNAS sebelum peristiwa paling menarik dalam sejarah korporat iaitu Dawn Raid dimana PNB berjaya mengambil alih Guthrie sebelum pemiliknya sedar di London! Kenapa Guthrie, sebabnya Guthrie adalah syarikat British yang memiliki tanah sangat yang luas di Malaysia! Serangan subuh ini berlaku 5 bulan selepasnya Amanah Saham Nasional dilancarkan.

PNB membuat perancangan yang rapi baik daripada dana untuk membeli menerusi pinjaman komersial antarabangsa iaitu Eurodollar loans supaya dari awal lagi British tidak dapat menghidu. Kemudiannya menerusi broker, Rowe & Pitman dengan pelbagai supaya tidak dikesan oleh British. Bermula seawal 9 pagi mereka mula membeli sedikit demi sedikit saham Guthrie sehinggalah pada pukul 1 petang, PNB berjaya mengambil alih 51% saham Guthrie. Semestinya ini mencetuskan kemarahan di Britain ketika media di sana menggelarkan ini adalah rompakan siang hari walaupun sah bagi undang-undang mereka sebelum London Stock Exchange menggubah undang-undangnya. 

dawn raid 1981

Namun disebabkan ASN harganya mengikut pasaran kadang naik kadang turun, yang mengganggu sedikit sebanyak mengganggu psikologi pelabur, PNB memperkenalkan ASB pada 1990 dengan harga tetap RM1.00 yang mana berlaku lonjakan dana. Pada era ketika penswastaan pada ketika itu meskipun demikian, PNB mempunyai saham dalam syarikat-syarikat nasional yang sudah diswastakan yang secara tak langsung melonjakkan dividen sebabnya ketika berlakunya peristiwa dikenali sebagai Super Bull pada 1993 ketika indeks Bursa Saham Malaysia melonjak hampir 100% sekaligus dividen pelabur-pelabur ASB juga naiklah sehingga 12%. 

Krisis 1998 meletup dan  indeks bursa saham Kuala Lumpur jatuh 75%  mengakibatkan pelabur mulai panik dan menarik keluar dana daripada bursa saham dan PNB membeli semula saham-saham tersebut pada harga yang murah dan semestinya kebimbangan pelabur pada saham sebabnya harga saham sudah jatuh masih kekal ke modal yang mereka ada? PNB menerusi sistem rizab simpan untung banyak daripada era Super Bull masih bagi dividen 10.50sen seunit tau! Bukan setakat sediakan payung, sediakan rumah terus sebelum hujan! 

Tetapi perkara ini juga bertitik tolak daripada pengurusan PNB ketika itu yang cukup berdisiplin sebabnya beberapa negara akan ambil wang daripada badan dana pelaburan negara contohnya negara jiran yang menyebabkan kegagalan dan kehilangan kepercayaan daripada masyarakat yang dikelolakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

PNB bukan semata-mata ambil alih Guthrie malah terlibat dengan ala-ala drama thriller korporat mirip drama perniagaan Jepun, Hagetaka ketika pengambilalihan syarikat gergasi hartanah, SP Setia pada sekitar 2012 apabila pada September 2011, PNB yang memiliki 33% dalam SP Setia membuat tawaran terbuka untuk membeli baju saham yang mana sebaik sahaja itu harga seunit melonjak ke hampir ke RM 3.90.
Liew Kee Sin, ketua pegawai eksekutif SP Setia kemudian membuat sedikit "drama" apabila meminta pemegang saham tidak menjual saham-saham mereka serta mengeluarkan kenyataan bahawa tawaran PNB terlalu murah bagi nilai SP Setia yang tak terhingga. SP Setia juga membawa pasukan penilaian semula aset dan berpendapat nilai sebenar sebenarnya adalah RM4.00-5.00, pekeliling juga dikeluarkan untuk pemegang saham untuk menolak tawaran PNB tersebut. Dia juga dikatakan berunding dengan white knight yang kadangkala melonjakkan harga saham misalnya badan kekayaan berdaulat daripada negara timur tengah. 

Namun satu-persatu institusi dan pelabur marhaen menjual saham mereka dan PNB kini memiliki lebih daripada 50% saham sehinggalah Liew Kee Sin bersetuju untuk menjadi Ketua Pegawai Eksekutif selama 3 tahun tetapi dia akhirnya memutuskan untuk keluar pada 2014 dan menubuhkan EcoWorld bersama dengan pasukan SP Setia yang tidak selesa dengan angin baharu pejabat mereka.

Berbalik kepada tujuan asal PNB iaitu memperkasa ekuiti domestik. Kita tak sedar sebenarnya rakyat Malaysia secara umumnya pemilik bank utama seperti Maybank yang mempunyai aset terbesar di Malaysia berjumlah US$201.84 billion menerusi ASB,KWSP,KWAP sekaligus menjadikan pelabur institusi pemegang saham majoriti. Banyak lagi bank yang sebenarnya dimiliki oleh institusi seperti KWSP,KWAP, Tabung Haji dan banyak lagi tanpa anda sedari anda adalah juga pemilik Bank-bank, jalan raya serta syarikat-syarikat mega yang lain. Berbeza tau dengan dengan negara jiran yang bank-bank utama dikuasai swasta yang keuntungan mengalirkan kat kapitalis atau taikun je itu yang mengakibatkan jurang yang besar sedangkan keuntungan Bank-bank utama kat negara kita mengalir kepada kita juga. 

Walaupun ada fasa-fasa yang tak selalunya memihak pada PNB tapi diorang ni sentiasa ada perancangan untuk tu tau! 

Menariknya kalau kita lihat perbezaan PNB(memandangkan PNB ni hibrid) dan badan pelaburan lain, kita sebagai rakyat boleh buka akaun, boleh keluar, boleh tambah malahan laporan setiap tahun sampai pada kita, benda ni berbeza daripada institusi yang sama tetapi negara lain yang anda cuma tahu wang anda dilaburkan kat mana tapi anda tak ada akaun macam di ASB,ASN dan sebagainya. Kita boleh keluarkan mahupun tambah modal tanpa birokrasi. Inilah yang dimaksudkan demokrasi! Berbeza daripada mutual fund swasta yang mengenakan caj broker 3-4% , PNB tak kenakan caj pun! Malahan risiko diorang tanggung berbeza daripada broker, sebab diorang memang pengurus dana anda. Lihat artikel berkenaan pasaran saham secara broker ini. 

Pendek kata, PNB ni sebenarnya cool tapi tak perlu banyak gimik pun! Sekarang dah ada aplikasi MyASNB yang menjimatkan masa tak perlu pergi pejabat bank ataupun pejabat pos dah. Macam mana? Anda sudah buka akaun atau beli unit baru ? 




Menilai pulangan pasaran saham

stock market


Antara formula yang sering dipakai pelabur runcit pasaran saham untuk modal sekali pusing (maksudnya Azmir masukkan sekali tanpa pusingan modal lagi) adalah:

\[ A = P(1 + \frac{r}{n})^{nt} \]

Yang mana katakan Azmir menyimpan RM14,000 berapakah jumlah pulangan Azmir selepas 20 tahun jika kadar faedah berjumlah 8% setahun?

Langkah: \[ RM14,000(1 + \frac{0.08}{1})^{1 \times 20} \] \[= RM14,000(1.08)^{20} \]\[= RM14,000(4.66) \]\[\approx RM65,240 \]


Bagaimana sekiranya Azmir mulai menyimpan RM 720 setahun sepanjang 35 tahun dengan kadar faedah 8% setahun?

Sekarang model yang dicadangkan ialah formula Annuity;

\[ FV = PMT \cdot \frac{(1+r)^n - 1}{r} \]

Langkah:
 \[ RM7200 \cdot \frac{(1+0.08)^{35} - 1}{0.08} \]\[ = RM7200 \cdot \frac{14.785 - 1}{0.08} \]\[ = RM7200 \cdot \frac{13.785}{0.08} \]\[ = RM7200 \cdot 172.3125 \]\[ \approx RM1,240,650 \]

Azmir akan beranggapan dia membuat keuntungan adalah RM 988,050.

Walaubagaimanapun, tanggapan Azmir disandarkan kepada;

-Nilai wang tidak berubah-ubah.

-Kadar faedah adalah tetap

-Pasaran stabil

Yang boleh dikembangkan apabila Azmir mengabaikan bahawa kadar inflasi dianggarkan 2-3% setiap tahun selama 35 tahun tersebut, manakala kadar inflasi setiap industri yang mungkin lebih tinggi. Tambahan, kadar faedah setiap tahun sangat linear digunakan dalam model ini.

Persoalannya, adakah jumlah selepas 35 tahun iaitu RM 1.24 juta tersebut sebuah kejayaan? 

Tetapi terdapat beberapa faktor diabaikan dalam formula Annuity dan faedah kompaun antaranya kos pengurusan memandangkan broker mahupun ejen akan menolak kos pengurusan dan menolak beberapa peratusan dengan andaian 3% setahun dan kos pengurusan yang kita akan tolak 3.5% daripada kadar faedah 8%

Maka,

 \[ RM7200 \cdot \frac{(1+0.045)^{35} - 1}{0.045} \]\[ RM7200 \cdot \frac{(1.045)^{35} - 1}{0.045} \]\[ RM7200 \cdot \frac{(3.667}{0.045} \]\[\approx RM 586,775.65\]



Akan tetapi input volatility \[\sigma\] diabaikan yang membolehkan bahawa kadar pulangan bukan seperti dalam model linear seperti kompaun dan Annuity yang disandarkan kepada kalkulus Leibniz-Newton untuk realiti pasaran yang cukup meruap tambahan sebenarnya penulis juga menggunakan model yang sangat linear tetapi inputnya diluaskan kepada kadar inflasi, kos pengurusan, yuran broker sedangkan realiti bukannya linear dan bersifat rawak! 

Bagaimana kuasa beli wang ini selepas 35 tahun? 

\[\frac {RM 586,775.65}{(1+i)^{35}}\] \[= \frac {RM 586,775.65}{(1.02)^{35}}\]\[=\frac {RM 586,775.65}{1.999}\]\[\approx RM 293,404\]

Maksudnya kemungkinan RM 586,775.65 pada 2060 bersamaan RM 293,404 pada 2025.

Inilah keadaan di bursa saham. Sedangkan pelaburan di unit amanah seperti Amanah Saham Nasional mempunyai matlamat berbeza yang akan menghasilkan output yang berbeza. Pengguna perlu ingat bahawa meletakkan modal di bursa saham tidak menjamin kekayaan. 









Kenapa Sarawak boleh buat pendidikan percuma

Merujuk artikel pada Fajar Baru MY berkenaan Pemansuhan PTPTN yang diterbitkan 20 April lalu, ini sebuah artikel yang bagus daripada mahasiswa yang prihatin dengan keadaan mahasiswa yang dibelenggu bebanan hutang dan kos sara hidup, dalam artikel ini Mustaqim memetik inisiatif kerajaan Sarawak yang agak umum tanpa mengira konteks yang akan dijelaskan disini. Pertama, terdapat batasan-batasan yang membolehkan skim pendidikan percuma ini dilaksanakan iatu syarat-syarat seperti;

  • Pemohon adalah anak Sarawak
  • Pemohon daripada keluarga berpendapatan RM1,500 ke bawah
  • Hanya institusi milik kerajaan negeri menawarkan skim ini iatu Kolej Antarabangsa Teknologi Lanjutan (I-CATS), Curtin University, University of Swinburne, Universiti Teknologi Sarawak (UTS)
  • Hanya bidang berkaitan STEM, perakaunan, kewangan dan perundangan sahaja.

Skim ini sebenarnya sudah dilaksanakan di Kolej Laila Taib dengan 100% biasiswa dan yuran asrama percuma walaubagaimanapun tertakluk kepada syarat kedua tadi dan syarat ditetapkan pihak Kolej, iatu pemohon daripada keluarga berpendapatan RM 1,500 ke bawah dan terma B40 masih digunakan untuk merujuk golongan ini, manakala untuk pelajar daripada M40 sebanyak 50% tajaan dan selebihnya perlu membayar sendiri misalnya jika pelajar M40 mengambil program diploma kejuruteraan elektrik dan elektronik yang yurannya RM 22,800 mereka masih perlu membayar RM 11,400 kepada Kolej. Begitu juga apabila dilaksanakan kelak, pelajar daripada M40 dan T20 masih tetap membayar yuran kepada 4 IPTS. Sebelum ini golongan M40 dan T20 yang mendominasi IPTS milik negeri. Pelajar yang tidak menyambung pengajian di IPTS milik negeri seperti UNIMAS,UPM tidak akan mendapat tajaan ini. Bagi kes UiTM kampus Sarawak masih dalam perbincangan.

Jadi berdasarkan syarat-syarat diatas, kelompok yang mendapat pendidikan percuma cukup kecil apatahlagi institusi tersebut dimiliki oleh kerajaan negeri sendiri yang menimbulkan persoalan kerajaan membayar kerajaan? Sebelumnya, masyarakat sendiri melihat IPTS milik kerajaan negeri hanya untuk golongan yang berada yang menyebabkan enrolmen di IPTS milik negeri agak sedikit, berbeza dengan Universiti Awam dan Institusi TVET awam seperti Politeknik, Kolej Komuniti, ILP yang cukup ramai pelajarnya. Sebelum skim ini diperkenalkan, pelajar berpendapatan rendah dan menengah yang menuntut di IPTS milik negeri berhutang menerusi PTPTN versi Sarawak, Yayasan Sarawak yang bahkan bidang teknikal pun menerusi Institusi Teknikal milik kerajaan Sarawak seperti SarawakSkills dan AWISAR perlu berhutang. Malah wujud dakwaan kerajaan negeri ingin memonopoli pendidikan tinggi juga wujud apabila hanya 4 IPTS milik negeri sahaja tergolong dalam skim ini.

Pendidikan percuma Sarawak


Skop pendidikan percuma ini sangat-sangat kecil dan kerajaan Sarawak juga menjelaskan tidak akan mengenakan cukai kerana jika mereka menaja kesemua golongan pendapatan, alamatnya memerlukan mekanisme sumber pendapatan seperti kenaikan cukai mahupun cukai baharu kerana secara teknikalnya pendidikan percuma memerlukan kos, dan kos pengajian tinggi saban tahun kian meningkat, yang pelajar sendiri sama ada sedar atau tidak, sebahagian yuran pengajian itu juga disubsidi kerajaan Persekutuan dan selebihnya dibayar pelajar sendiri.

Malah yang paling mengejutkan, bidang selain yang disebutkan adalah tidak akan ditaja baik bidang kemanusiaan, sastera, mahupun bidang-bidang tidak selari dengan perancangan ekonomi kerajaan negeri. Bahkan nilai bidang ini malangnya tidak dihargai apabila Roland Sagah sendiri menyebut pelajar bidang-bidang ini sukar mendapat pekerjaan tetapi memaki kerajaan negeri apabila tidak mendapat kerja. Gambaran bidang yang dia maksudkan ialah: Sains Politik, Sastera, Hubungan Antarabangsa, Pengajian Filem, Muzik, Jurnal, Komunikasi Massa, Bahasa, Seni, Falsafah, Sejarah serta banyak lagi yang saya pasti akan dikritik hebat oleh beberapa kelompok nanti. Pelajar daripada bidang ini mungkin akan memohon BPKNS yang 75% biasiswa dan 25% pinjaman ataupun berhutang sama ada Yayasan Sarawak atau PTPTN sendiri. 

Kerajaan negeri masing-masing boleh melaksanakan skim serupa tetapi perlu diambil kira bahawa pendapatan kesemua 11 negeri meskipun digabungkan, lebih sedikit berbanding pendapatan negeri Sarawak iaitu RM 14.2 bilion yang dijangka meningkat dan kelebihan sumber alam pada Sarawak. Ketika Tun Mahathir berpendapat Sarawak perlu membantu negeri seperti Kedah dan Kelantan, baik penyokong Tun M atau Kerajaan negeri kurang memahami maksud yang dijelaskan Abang Johari bukan merendahkan negeri tersebut tetapi realiti di Sarawak yang sangat-sangat memerlukan pembangunan di sana sini dengan wilayah yang cukup besar ditambah negeri ini kedua teramai miskin tegar dengan kadar pengangguran yang melebihi paras nasional, kadar kelahiran yang rendah, sekolah yang daif, pembangunan di pedalaman yang masih memerlukan pembangunan infrastruktur dan skim pendidikan percuma untuk kelompok kecil ini salah satunya.

Sekiranya beban itu diletakkan pada Kerajaan Persekutuan untuk memansuhkan PTPTN dan mewujudkan pendidikan percuma yang kosnya sangat tinggi jika mengambil kira faktor kos pengajian tinggi hari ini ditambah kos pengurusan dan pembangunan yang meningkat dan pelupusan kira-kira RM42.34 bilion hutang PTPTN, memerlukan kemampuan bagaimana mekanisme yang mapan untuk membolehkan ianya terwujud sama ada mengenakan cukai baharu, penulis menyebut mempelbagaikan cukai progresif tetapi adakah kita terus menerus mencekik golongan berpendapatan tinggi? Itu mempunyai kesannya. Laporan Audit memang mengesahkan wujud ketirisan. Ketika ini juga subsidi yang mempunyai ketirisan cuba diselesaikan dengan rasionalisasi subsidi petrol yang lebih efisien yang menjimatkan perbelanjaan. 

'Kerajaan tidak ada duit yang cukup ' bukanlah alasan politik melainkan sebuah realiti apabila kutipan hasil kerajaan Malaysia menunjukkan penurunan dari tahun ke tahun berdasarkan laporan World Bank. Ramai pakar menyebut kadar sifar GST menjadi punca kepada ini yang mencadangkan GST dikembalikan semula. Kita berdepan cabaran yang menjadikan pendidikan percuma boleh berlaku tetapi banyak perkara akan menerima kesannya. 


Fokus kepada pendidikan percuma semata-mata tanpa pembangunan dan dasar ekonomi yang tepat menjadikan keadaan seperti di Tunisia, Algeria mahupun Greece yang mempunyai pendidikan tinggi yang percuma tetapi kadar pengangguran cukup tinggi kerana tidak seimbang dengan pembangunan ekonomi dan kurangnya diversifikasi ekonomi seperti di Tunisia dan Algeria ditambah kemahiran yang tidak diperlukan di pasaran, yang menyebabkan graduan bidang kemanusian dan sains sosial sukar mendapat kerja. Mungkin itukah kerajaan Sarawak sinis dengan bidang ini? 

Kerajaan Persekutuan mungkin perlu meneroka sumber kewangan lain tetapi sumber alam bergantung kepada ketidaktentuan global sepertimana harga getah, sawit, minyak serta memerlukan kos juga yang masih memerlukan penerokaan sumber pendapatan lain. Sebelum ini hasil kutipan GST kira-kira RM44 bilion mampu membiayai banyak projek dan bantuan kerajaan yang sayangnya dikurangkan pada 0% dan memang GST akan menyebabkan harga barang naik tetapi kerajaan ketika itu memperkenalkan BR1M untuk mengatasi masalah ini. 


 Tekad untuk pendidikan percuma itu memang ada, ketika ini pun terdapat institusi pengajian yang hampir percuma seperti Kolej Komuniti yang menawarkan bantuan kewangan yang cukup tinggi ataupun Institut Latihan Perindustrian yang menawarkan pendidikan percuma dengan elaun setiap bulan, serta makan percuma. Pendidikan percuma memerlukan kos yang cukup-cukup besar baik pengurusan, pembangunan, dan kos-kos lain, jika semua bersedia untuk kenaikan harga barang dan perkhidmatan, cukai yang baharu untuk golongan berpendapatan tinggi, pemotongan atau penamatan subsidi dan bantuan kerajaan, pelabur juga tidak lagi melihat Malaysia mesra pelabur, pendidikan percuma boleh dilaksanakan. Jika sebelum ini kos pendidikan ditanggung diri sendiri, kini orang lain harus menanggung anda. Itu realiti pendidikan percuma di seluruh dunia. 

Itulah sebab mengapa kerajaan Sarawak boleh dan kerajaan persekutuan tidak boleh dalam konteks masing-masing.


Kemaskini 22 Disember 2025: Nampaknya skop skim semakin kecil apabila hanya pelajar sepenuh masa, dan program ijazah Sarjana Muda sahaja walaupun sebelumnya kerajaan berkata sebaliknya. 

Dekad yang hilang


Gambar : Francesco Ungaro

Sewaktu gelembung aset di Jepun berakhir, dan membawa kepada Dekad yang hilang, terdapat masalah dalam Jepun ketika selain Plaza Accord (polisi paling disesali Jepun), misalnya Yamaichi, sekuriti tertua di Jepun tumbang sebelum genap 100 tahun penubuhannya, tiada sesiapa akan menjangka ini berlaku, peristiwa ini menyebabkan indeks Dow Jones menjunam. Ini ada kaitan dengan masalah etika dalam organisasi misalnya dilaporkan Yamaichi menyorokkan hutang buruk¹ $200 bilion dan terlibat dalam skandal seperti Skim Tobashi sebagai cubaan untuk menutup kerugian hingga beberapa eksekutifnya ditangkap, ini berlangsung sejak 80an lagi dan 90an adalah kemuncaknya apabila Yamaichi jatuh, kepanikan mula berlaku. Ketika itu terdapat kepercayaan di Jepun bahawa tidak akan ada sesiapa membiarkan bank jatuh tetapi realitinya menunjukkan LCTB yang hampir bankrap sehingga diselamatkan oleh kerajaan Jepun (nasionalisasi) dan selepas pecahnya gelembung aset, perubahan sosial jelas berlaku seperti turunnya kadar kelahiran, deflasi, dan masalah politik yang digambarkan sebagai "The Lost Decade" dan Perdana Menteri bertukar ganti. 

Kritikan yang dilontarkan kepada masyarakat Jepun ketika itu adalah penafian. Selepas mendapati Yamaichi yang sebesar itu boleh jatuh, Kerajaan Jepun mula bertindak dengan bail out banyak syarikat dan bank(hingga kini) yang mana sebagai cara untuk memastikan agar syarikat ini tidak rebah sebabnya kejatuhan Yamaichi sendiri menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan dan kesan domino. Akan tetapi, bail out sebegini dianggap membiarkan syarikat-syarikat yang sebenarnya tidak ada masa depan kekal beroperasi. Jepun adalah negara dengan hutang tertinggi di dunia dan memang ada pihak yang menganggap kejayaan Jepun sebenarnya ditaja oleh kerajaan(hingga ada yang mengatakan berbaur komunisme), ekoran banyak bank, syarikat multinasional yang diselamatkan oleh kerajaan Jepun terus menerus. 

Kadar bunuh diri meningkat 35% selepas berakhirnya gelembung aset ini dan masalah yang menjadi sorotan hari ini ialah kadar kelahiran yang rendah di negara matahari terbit tersebut hingga di media sosial beranggapan ini disebabkan oleh masalah tertentu yang sebenarnya masalah ekonomi sendiri, deflasi, komitmen adalah sesuatu yang sukar. 

Hari ini, The Lost Decade adalah pengajaran yang sering disebut dimana sahaja, tahukah anda drama dan novel berunsurkan perniagaan laris di Jepun dan pakar berpendapat ini disebabkan ketidakpastian terhadap masa depan negara itu, kerana Jepun berada pada tahap terhambat, dikatakan pertumbuhan yang disebutkan adalah palsu, katakan pertumbuhan 4%, adalah palsu.

Sekuriti terbesar Jepun bankrap pada usia 100 tahun

Kejatuhan Yamaichi merupakan sebahagian daripada krisis kewangan Asia 1998.

Yamaichi Securities diperbadankan pada 1943 namun menjejaki ditubuhkan pada 1897 apabila Koike Shoten mendapat lesen sebagai broker di Tokyo Stock Exchange dan nama Yamaichi digunapakai 20 tahun kemudiannya. Pada masa tersebut, industri sekuriti masih belum berkembang dan perniagaan masih dalam suasana ekonomi dikawal Zaibatsu. 


Perang meletus dan Pakatan Bersekutu menduduki Jepun serta urusniaga pada stock exchange diharamkan sehingga 1949 dan Yamaichi mampu bertahan dengan membeli dan menjual pada kaunter di pejabatnya memandangkan keadaan pasca perang  ketika itu menyebabkan ramai melepaskan pegangan mereka untuk wang tunai. Selepas 1949,Jepun mula bangkit daripada kekalahan dan ketika ini barangan Jepun dianggap murah dan tidak berkualiti. Menjelang 60 an,ekonomi Jepun berkembang pada kadar 10% setahun. 


Pada 1963,Kerajaan Jepun mengetatkan bekalan wang yang menyebabkan kemelesetan pada tahun berikutnya yang memberi impak pada sektor pembuatan serta pasaran saham menjunam mendorong Kementerian Kewangan melarang terbitan saham baharu malahan beberapa Syarikat bergabung untuk membeli saham untuk membantu menstabilkan harga tetapi sayangnya harga saham tetap menurun. Yamaichi mempunyai hutang $214 juta pada tiga bank iatu Fuji Bank,Mitsubishi Bank dan Bank Perindustrian Jepun dan seandainya Kerajaan Jepun tidak menyelamatkan Syarikat ini, maka Yamaichi akan bankrap lebih awal dan selepas dibantu kerajaan dengan menggantung pembayaran faedah dan meluluskan pinjaman tanpa had daripada Bank Pusat. 


Beberapa pemulihan dilakukan di Yamaichi sebelum Yamaichi bangkit bermula 1967 dan dalam waktu 70an,Yamaichi mula menceburkan diri dalam pelaburan asing terutamanya di Eropah dan Yamaichi International berbagai cawangan ditubuhkan. Menjelang 1980,Yamaichi menapak kukuh di seluruh dunia. Namun kejatuhan pasaran saham New York 1987 dan setahun kemudian mengurangkan kakitangan di New York akibat perkembangan tidak seperti yang diharapkan walaubagaimanapun 20% keuntungan Yamaichi adalah daripada aktiviti diluar negara.


Beberapa anak syarikat Yamaichi ialah;

Yamaichi Investment Trust Management Co., Ltd.

 Institut Penyelidikan Sekuriti dan Ekonomi Yamaichi, Inc.

 Yamaichi International Capital Management Co., Ltd.

Yamaichi Uni Ven Co., Ltd.

Yamaichi Computer Center Co., Ltd.

Yamaichi Real Estate Inc.

Yamaichi Echo & Co., Ltd

Yamaichi Enterprise, Inc.

Yamaichi General Finance Co., Ltd. Yamaichi World Tourist Inc.

Yamaichi Card Services Co., Ltd. Yamaichi International (Amerika Syarikat), Inc

Perkhidmatan Kewangan Yamaichi, Inc. Yamaichi International (Kanada) Yamaichi International (Eropah)

Bank Yamaichi (UK)

Yamaichi International (Nederland) NV

Yamaichi International (Deutschland) GmbH; 

Yamaichi Perancis SA.

Bank Yamaichi (Switzerland)

Yamaichi International (Timur Tengah)EC.

Yamaichi International (Hong Kong) Ltd

Yamaichi Merchant Bank (Singapore) Ltd; 

Yamaichi Futures Private Limited


Skandal:


Skandal dan kesilapan pengurusan mengakibatkan kejatuhan Yamaichi. Pada 1992,eksekutif Yamaichi menubuhkan Yamaichi Enterprise untuk membuka akaun pada Credit Suisse cawangan Tokyo dan menggunakan Yamaichi Enterprise untuk menjana keuntungan klien hingga akhirnya menyerap kerugian ¥158.3 bilion dan terdapat skim berasingan dilakukan di Australia. Jenayah ini menyebabkan figura tertinggi Yamaichi ditahan.


Yamaichi juga menyorokkan hutang buruk kira-kira ¥200 bilion akibat daripada pelaburan spekulatif yang disumbangkan oleh pelaburan hartanah dan pinjaman berlebihan memandangkan gelembung aset masih terasa. 


Harga stok menurun daripada ¥2,600 kepada ¥400 pada awal 1997. Yamaichi kehilangan kepercayaan,pengeluaran besar-besaran aset dilakukan oleh pelanggan yang menjangkau ¥24 trilion pada akhir September 1997. Yamaichi tidak dapat diselamatkan lagi dan Presiden, Shohei Nozawa dengan tangisan memohon maaf kepada semua dan mengatakan bahawa pekerja Yamaichi tidak bersalah. Yamaichi diisytiharkan bankrap pada 1999. 

Hagetaka(2018)

Drama ini mengambil latar belakang lewat 1990 dimana ketika itu ekonomi Jepun mengalami kemerosotan akibat berakhirnya zaman keajaiban ekonomi mendorong pecahnya gelembung aset. Sekita 1980 an, Bank Negara Jepun menurunkan kadar faedah untuk merangsang ekonomi menyebabkan pinjaman lagi lebih murah dan semestinya mendorong pelaburan yang besar dalam hartanah dan saham hinggakan melonjaknya harga saham dan hartanah jadi banyak pihak yang melakukan pelaburan spekulatif dengan jumlah yang besar akibat yakin keajaiban ini akan bertahan lama hinggalah keajaiban ini berakhir pada 1990 apabila harga saham dan aset jatuh secara mendadak yang menyebabkan ekonomi Jepun terhambat,dan bank-bank besar mengalami kerugian besar dan menanggung hutang buruk "bad loan".

Dalam drama yang asalnya merupakan novel karya Jin Mayama dengan nama yang sama " Hagetaka". 

Drama dimulakan dengan Bank Mitsuba yang akan dibeli oleh syarikat pelaburan asing,Horizon Japan yang dipengerusikan oleh seorang pemuda,Masahiko Washizu. Bank Mitsuba asalnya nak Horizon Japan beli sekurangnya 30 Bilion Yen dan Washizu sebagai Presiden Horizon Japan meminta tempoh 4 minggu. 

Selepas 4 minggu,Horizon nyatakan mereka akan beli dengan 6.3 bilion Yen yang menyebabkan geng-geng Bank Mitsuba pun marahlah kenapa beri harga yang tidak masuk akal. Tapi rupanya Horizon Japan dah selidik A sampai Z bahawa Bank Mitsuba mempunyai banyak masalah dan menyorokkan "bad loan" dan Bank Mitsuba pun terkejut bagaimana Horizon Japan boleh dapat banyak maklumat.

Drama ni sebenarnya menonjolkan masalah pengurusan apabila syarikat-syarikat yang diambilalih oleh Horizon Japan sebenarnya mempunyai masalah dengan pengurusan misalnya pengurusan syarikat tilam,bank,syarikat IT dan hotel. Washizu digelar sebagai pengkhianat Jepun sebab beli syarikat negara dia tapi kenyataan Washizu menarik bila dia merosakkan syarikat yang merosakkan Jepun.

Dalam Drama ni juga ada sentuh pengkhianatan bila Washizu dipecat daripada Presiden oleh Alan yang jadi Presiden yang baru yang mana Washizu tak berapa lama buat Syarikat pelaburan baru,Samurai Fund. (Normal sebenarnya dalam dunia korporat)

Jin Mayama sebenarnya mengkritik kerajaan, ahli politik dan orang Jepun yang leka dengan gelembung aset hingga berakhirnya era tersebut dan bermulanya era "Dekad yang hilang" tapi dalam drama ni Washizu mengatakan dekad tu bukan 20 tahun tapi sepanjang era Heisei dan dalam 20 tahun ni,Jepun tidak menyumbangkan apa-apa. Menariknya dalam Drama ni Washizu ada "ugut" Perdana Menteri Jepun dengan akan bagi senarai penyumbang gelap dia pada media kalau kerajaan tak halang Plaza Group untuk beli Akebono. Ini menarik sebab hampir semua Perdana Menteri Jepun ada skandal rasuah, dan akibat dari ini Washizu memanfaatkan keadaan bila Syarikat tersebut ada jenayah, atau individu tersebut ada rahsia. Genius.